Tuesday, May 13, 2008

Kisah mangkuk cantik, madu dan sehelai rambut

Suatu ketika dahulu, Raulullah SAW, Abu Bakar, Umar dan Uthman berkunjung sebagai tetamu ke rumah Ali. Disana mereka dijamu oleh Fatimah, puteri Rasulullah SAW sekaligus isteri Ali bin Abi Talib. Fatimah menghidangkan untuk mereka semangkuk madu. Ketika mangkuk itu diletakkan, sehelai rambut jatuh melayang dekat mereka. Rasulullah SAW degera meminta para sahabatnya untuk membuat perbandingan terhadap ketiga-tiga benda tersebut iaitu mangkuk yang cantik, madu yang manis dan sehelai rambut.
Abu Bakar yang mendapat giliran pertama segera berkata, "Iman itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Orang yang beriman itu lebih manis daripada madu yang manis ini. Mempertahankan imam adalah lebih susah daripada meniti pada sehelai rambut ini." Rasulullah tersenyum lalu berpaling kepada Uthman seraya mempersilakannya untuk membuat perbandingan. Uthman berkata, "Ilmu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Orang yang menuntut ilmu lebih manis daripada madu ini. Orang yang beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit daripada meniti pada sehelai rambut ini". Rasulullah kagum mendengar perumpamaan sahabatnya dan baginda segera mempersilakan Ali bin Abi Talib untuk mengungkapkan kata-katanya.
Ali bin Abi Talib berkata, "Tamu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Menjamu tamu itu lebih manis daripada madu ini. Membuat tamu senang sampai kembali pulang kerumahnya adalah lebih sulit daripada meniti pada sehelai rambut ini". Rasulullah segera mempersilakan Fatimah untuk berkata-kata.
Fatimah berkata,"Seorang wanita itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Wanita yang memakai purdah adalah lebih manis daripada madu yang manis ini. Mendapatkan wanita yang tidak pernah dilihat orang lain daripada muhrimnya adalah lebih sulit daripada meniti pada sehelai rambut ini".
Setelah mendengarkan perumpamaan dari para sahabatnya, Rasulullah SAW segera berkata, "Seorang yang mendapat Taufiq adalah lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Beramal dengan perbuatan baik adalah lebih manis daripada madu yang manis ini dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit daripada meniti pada sehelai rambut ini".
Malaikat Jibril yang hadir bersama mereka turut membuat perumpamaan. "Menegakkan tiang-tiang agama adalah lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Menyerahkan diri, harta dan waktu untuk agama adalah lebih manis daripada madu ini. Mempertahankan agama sampai ke akhir hayat lebih sulit daripada meniti pada sehelai rambut ini".
Allah SWT turut membuat perumpamaan dengan firman-Nya dalam hadis Qudsi, "Syurga-Ku itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik itu. Nikmat syurga-Ku adalah lebih manis daripada madau yang manis itu. Jalan yang menuju ke syurga-Ku adalah lebih sulit daripada meniti pada sehelai rambut itu".
Wallahualam...
Renung-renungkan dan cuba lah untuk menegakkan tiang-tiang agama, mempertahankan agama dan beramal dengan ikhlas supaya dapat merasakan nikmat syurga-Nya dan mudah untuk menuju ke syurga-Nya..
InsyaAllah...

No comments: